
Tahun 2022 boleh dianggap sebagai “Fasa Pemulihan” bagi Yayasan Al Baghdadi dalam menggerakkan kembali visi dan misi YAB iaitu usaha memberikan pendidikan Al Quran menggunakan Teknik Al Baghdadi secara PERCUMA kepada Anak Yatim, Saudara Baru dan Orang Asli di seluruh Negara dengan menjalankan aktiviti menyedarkan masyarakat tentang kepentingan untuk belajar dan mengajar Al Quran di samping menjalinkan kerjasama dengan pelbagai Institusi bagi menjayakan Program Membasmi Buta Al Quran di samping menjalankan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan di seluruh Malaysia.
Memulakan awal tahun baru dengan menjalankan misi prihatin banjir di Temerloh, Pahang dengan mengedarkan barang keperluan asas dan Al Quran waqaf kepada mangsa yang terjejas banjir, diikuti dengan aktiviti korban bersama masyarakat pendalaman di Sabah dan edaran Al Quran wakaf kepada semua guru Al Quran di bawah rangkaian pendidikan jenama Al Baghdadi. Di samping itu, sahabat-sahabat Hikmah Centre terus melaksanakan kelas-kelas kepada golongan sasaran YAB. Sahabat Hikmah Centre komitmed menjalankan kelas secara PERCUMA selari dengan VISI dan MISI YAB.
Selain Al Quran Wakaf, dua bentuk sumbangan wakaf dalam bentuk kenderaan operasi iaitu sebuah bot penyelamat berenjin 5HP dan van ambulans telah selamat diserahkan kepada mereka yang berkemahiran dalam misi kemanusiaan dan kemasyarakatan. Kenderaan operasi yang diperoleh dari kutipan para penyumbang dari awal 2019, sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk membantu insan-insan yang memerlukan.
Usaha Yayasan Al Baghdadi sepanjang tahun 2022 telah menarik minat beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pewaris Anak-Anak Melayu Gombak (PEWARGA) dan Persatuan Misi Keamanan & Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (BANTU), untuk bekerjasama dalam menjalankan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan. Ini dapat dibuktikan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama YAB.
Disember merupakan bulan yang membanggakan buat Yayasan Al Baghdadi apabila Pengerusi Yayasan Al Baghdadi, Ustaz Qr. Haji Jalaluddin Haji Hasanuddin menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia Ke-20 di atas jasa beliau dalam perkembangan dunia pendidikan Al Quran.
Teknik Al Baghdadi atau lebih dikenali bagi masyarakat diluar sana sebagai teknik ‘ketuk-ketuk’ , memperoleh perhatian awam apabila dianggap sebuah inovasi dalam membantu masyarakat mempelajari ilmu Al Quran dan YAB sentiasa menerapkan teknik ini dalam menjalankan bengkel dan program pendidikan percuma.